Ahad, 30 Oktober 2011

BERSILAT SAMBIL BERAMAL

Sekali lagi pada tahun ini, Program 'WORLD FIGHTING FOR LIFE 2011' akan kembali.

Program kali ini akan melibatkan lebih ramai guru2 dari seluruh dunia mengadakan bengkel dan workshop martial arts atas dasar bagi mengutip derma membantu anak2 yatim dan  kanak2 yang susah ( 3rd world country ).

Kursus 1, Nov. 2009 - Untuk FFL, Tekpi bersama Hikayat 1001 Tumbok
Kursus 2, Feb. 2011 - LPMAA, Kursus Belantali bersama Applikasi Tangan Cengkadak
Kursus 3, Nov.2011- Untuk FFL, Lian Tasbih bersama Applikasi Kipas Nandung

Duit terkumpul akan di sumbangkan kepada rumah-rumah anak yatim terpilih di selangor. Harapan kali ini, lebih ramai akan terlibat dan bersama-sama membuat amal kebajikan.


KURSUS             : Lian Tasbih ( 45 Degree )
Hadiah               : Aplikasi / Buah Kipas Nandung
Oleh                   : Raja Buah Pukol - Ayahanda Dr Haji Mohammed Hashim Salleh
TARIKH            : 12 November 2011 ( Sabtu )
MASA                : 9.00 - 5.00 pm
TEMPAT            : LPMAA gombak ( bergantung kepada penyertaan )
YURAN              : BUKAN AHLI  - RM150.00
                            AHLI Dewasa - RM100.00
                            AHLI / Bukan AHLI Bersekolah - RM 70.00

Kepada sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi Cikgu Dr Hishamudin di talian; 012-6531372

Isnin, 8 Ogos 2011

Belasungkawa

Keluarga Silat aliran Buah Pukul kehilangan sebutir permata apabila kembalinya Guru Pak Andak Wahab Awang kembali ke rahmatulLah pada 6 Ogos 2011 lepas bersamaan hari sabtu jam 11.52pagi di Rompin. Beliau merupakan salah seorang  tokoh tersohor Silat Gayang 5 dengan mengekalkan permainan asal Lian. Beliau juga dikenali dengan nama "Wahab Besi" atau Pak Andak Wahab Mata Merah. Juga merupakan bekas guru kepada abang Din Misai. walaupun secara peribadi saya hanya mengenali arwah Pak andak Wahab melalui ayahanda Hj Hasyim dan Arwah Pak Mat Kedidi namun tak pernah berpeluang bersua muka secara live. Takziah daripada keluarga LianPadukan khasnya kepada warga Gayang Lima amnya dan murid-murid beliau khasnya. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepadaNya jualah kita kembali. Al- fatihah kepada Allahyarham.
Berikut adalah rakaman Lian 1 & Lian 3 daripada Allahyarham Pak Andak Wahab suatu ketika dulu untuk tatapan semua.


Rabu, 27 Julai 2011

GRADING LIANPADUKAN PAHANG 2011

             AlhamdulilLah. Pada 23 hb Julai (sabtu) baru-baru ini, Persatuan Seni Silat Lian Padukan cawangan Pahang telah selamat mengadakan majlis Grading /Ujian kenaikan Peringkat Bengkung/ talipinggang bagi tahun 2011. Ujian Grading ini dijayakan dengan kerjasama daripada guru-guru gelanggang Induk di Johor Bahru,cikgu Jep, cikgu arif, cikgu Ain dan ayahanda Guru Utama sendiri, Guru Dr Hj Hasyim bin Hj Salleh. Tidak lupa juga cikgu Dato' Azmi dari gelanggang Kuantan bersama-sama 2 pesilat bimbingannya turut menjayakan majlis pada kali ini.
             Majlis dimulakan jam 9 mlm dan berakhir jam 1.45 pagi. Seramai 22 pesilat dari gelanggang SMK Chanis, Muadzam Shah menyertai majlis ini. Tidak termasuk 3 beradik pesilat (anak angkat ayahanda guru utama) yang menyertai ujian di saat-saat akhir. Ujian yang dijalankan adalah bagi peringkat Jurus, Lian peringkat 1, lian peringkat 2 (reju), Lian peringkat 3 (tumbuk mengambil) dan Lian Pagar.
             Majlis turut diserikan dengan kehadiran abang Hamzah, pengamal Seni Silat Lian 12 bersama-sama dengan menantu beliau, Encik Shamsul dan kenalan beliau, En. Arif dan En. Zakri dari Muadzam Shah. Kehadiran beliau amat bermakna tambahan pula bagi tujuan menjalinkan silaturrahim dengan LianPadukan khasnya dengan ayahanda Guru Utama Hj Hasyim bin Hj Salleh. Pada pertemuan ini kami berpeluang bertukar pandangan dan merapatkan hubungan antara silat aliran buah pukol. Pertemuan ini juga lebih bermakna apabila abang Hamzah turut menghadiahkan salinan nukil daripadanya, aliran Lian 12 kepada ayahanda Guru Utama.
             Rumusan daripada majlis ini, walaupun penat dan mengantuk (pulang ke rumah jam 4.50pagi) ianya sangat berbaloi dan memberi penuh makna terutamanya kepada tuan rumah majlis grading. Komitmen daripada semua yang terlibat menjayakan majlis ini adalah sangat dihargai. Segala kekurangan dan teguran membina yang diterima juga akan diperhalusi dan diperbaiki pada masa akan datang... InsyaAllah!

Selasa, 21 Jun 2011

Lian Padukan; Raja Buah Pukul Selatan

LianPadukan sekali lagi ke udara. Kali ini di stesen RTM, TV1 dalam program GALERI SENI yang bersiaran pada Jumaat 17 Jun 2011 jam 7 malam. Syabas kepada semua ahli yang terlibat untuk penggambaran ini. Kualiti penggambaran kali ini dirasakan lebih baik.

Khamis, 24 Februari 2011

Puas berBELANTALI


Kursus senjata belantali  pembuka tirai kursus 2011 anjuran Lian Padukan telah selesai dengan jayanya. Rata-rata peserta kursus sangat dihidangkan berpuas-hati dengan apa yang dihidangkan dalam kursus kali ini. Kursus yang berlangsung pada 19 Februari 2011 di Gelanggang Gombak Jaya ini dihadiri 33 orang peserta. Kursus ini merupakan kursus awam kedua selepas Kursus Tekpi yang dianjurkan pada November 2010.

Ribuan terimakasih kepada Ayahanda Hj Hashim bin Hj Salleh, YDP Persatuan Seni Silat Lian Padukan yang hadir bagi merasmikan kursus ini dan berkongsi ilmu permainan senjata belantali. Sememangnya beliau selayaknya bergelar Raja Buah Pukul apabila menghidangkan teknik serangan, teknik melapis dan rahsia buah pukul yang cukup fantastic.

Kursus ini juga dihadiri oleh orang lama Lian Padukan iaitu Pak Mat Singa. Beliau turut sudi berkongsi pengalaman dan petua-petua buah pukul yang berguna kepada peserta. Peserta yang hadir turut bersemangat mendengar cerita dan pengalaman daripada beliau.

Di akhir kursus (sebelah petang), peserta dihadiahkan dengan Rahsia tangan Cengkadak oleh ayahanda Hj Hashim kepada semua peserta. Peserta-peserta juga turut melakukan praktikal kuncian menggunakan belantali sebelah. Penyerahan sijil disempurnakan jam 6.30 petang.

Tahniah diucapkan kepada semua yang hadir termasuk daripada guru-guru gelanggang daripada Johor Melaka, KL/Selangor dan Pahang. Tahniah juga diucapkan kepada semua yang terlibat mengelola kursus ini khasnya, cikgu Hisham Giant di atas komitmen beliau tinggi. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Hj Mohd Hashim kerana sudi berkongsi ilmu belantali. Difahamkan kursus seterusnya yang bakal menyusul ialah kursus senjata BELANTUMBOK yang juga dikenali sebagai tonfa atau tuas. InsyaAllah.

Khamis, 10 Februari 2011

KURSUS SENJATA BELANTALI (BELANTAN BERTALI) SENI SILAT LIANPADUKAN

Satu kursus senjata belantatali Lian Padukan akan diadakan pada tarikh 19Februari 2011 (sabtu) bertempat di gelanggang Sri Gombak. Kursus bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang. Peserta kursus akan didedahkan dengan senjata belantan bertali oleh Guru Utama, Tn Hj Hashim bin Salleh. Turut serta dalam menjayakan kursus ini ialah Pak Mat Singa, Orang lama/ pengamal buah pukul akan turut berkongsi pengalaman beliau selama berkecimpung dalam dunia buah pukul.  Beliau juga merupakan salah seorang penyokong kuat Lian Padukan semenjak kali pertama silat ini bertapak. Peminat-peminat seni silat khasnya aliran buah pukul, jangan lepaskan peluang untuk berkongsi pengalaman berharga ini.

Yuran penyertaan ; RM 150 (Bukan ahli)
                              RM 100 (Ahli)

Maklumat lanjut, sila hubungi s/u merangkap guru gelanggang Gelanggang Sri Gombak, Saudara Hisham Giant di talian 016-7027449.

Isnin, 24 Januari 2011

Petikan Artikel Utusan Malaysia Sabtu 22 Januari 2011

Berikut adalah artikel daripada Akhbar Utusan Malaysia bagi tatapan mereka yang terlepas peluang membaca.

Raja buah pukul dari selatan


Hasyim dan Mat Giant sedang menunjukkan demonstrasi pergerakan rebut untuk mematahkan pertahanan lawan.


PERNAHKAH anda mendengar mengenai seni bela diri Lian Padukan yang berasal dari Yunan, China? Walaupun ia bukanlah seratus peratus silat Melayu, Lian Padukan kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat semenanjung Malaysia sehingga mendapat gelaran raja buah pukul dari selatan.
Lian Padukan dibawa ke Tanah Melayu oleh seorang pedagang Arab dari Yunan bernama Syed Abdul Rahman Yunani pada kurun ke-18 yang juga merupakan pengasas kepada aliran tersebut.
Insiden yang berlaku di pelabuhan Singapura pada ketika itu di mana, Syed Abdul Rahman bertempur dengan lapan orang penarik lanca akibat perselisihan faham akhirnya mendapat perhatian pihak Istana Johor ketika itu.
Pada ketika itu juga, Stamford Raffles tidak membenarkan apa jua seni bela diri dipelajari di Singapura. Maka Syed Abdul Rahman dijemput mengajar di Mersing, Johor.
Mulai saat itulah, kaedah seni bela diri itu dikenali sebagai Buah Pukul Mersing, di mana banyak dari golongan kerabat diraja, bangsawan dan pendekar turut sama menuntut.
Lian Padukan mengandungi empat pergerakan asas yang dipanggil jurus dan melaluinya, pengamal akan mempelajari teknik-teknik menggunakan perisai, penumbuk, siku, lutut dan kaki.
Perisai merupakan penggunaan tangan dalam kedua-kedua pergerakan menyerang dan menangkis untuk menyekat pergerakan lawan secara berkesan di samping berkebolehan untuk menahan sama ada dalam keadaan bergerak.
Perisai juga antara teknik yang paling penting dalam Lian Padukan dan digunakan pada semua peringkat pelajaran dan kemahiran.
Setelah selesai peringkat jurus, penuntut akan naik ke peringkat lian. Dalam Buah Pukul, lian bermaksud pergerakan, sama seperti konsep kata dalam karate atau gaya dalam seni bela diri Cina.
Terdapat empat peringkat lian dengan setiap peringkat dan ia turut mengandungi empat Lian untuk dikuasai.
Pada peringkat itu, penuntut diperkenalkan kepada teknik-teknik dan aplikasi-aplikasi tertentu yang berkaitan dengan setiap lian.
Oleh itu, tahap kemahiran penuntut akan meningkat sewaktu
memahirkan diri dengan penggunaan setiap lian.
Dalam lian juga, penuntut bakal mempelajari teknik dan taktik seperti rebut (mematahkan pertahanan lawan), reju (tekanan berterusan ke atas lawan), turut (mengikut arah pergerakan lawan), titik (mematahkan serangan tangan lawan) dan makan gerak (serangan memotong gerak lawan).
Ketika sedang mengamati gerak langkah yang dipersembahkan oleh para pendekar Lian Padukan, penulis dapati yang kaedah seni bela diri itu lebih banyak menekankan corak mendahului serangan daripada menanti serangan.
Konsep inilah yang menjadi matapelajaran teras dan tidak jauh berbeza daripada konsep Buah Pukul yang asal.
Secara asasnya, Lian Padukan mengajar cara serangan yang terus dan agresif.
Intisari Lian Padukan terletak pada kebolehan pengamalnya untuk melancarkan teknik makan gerak kepada lawannya di mana pengamalnya akan menyebabkan lawannya gagal melancarkan sebarang bentuk serangan ataupun menahan.
Sekali pengamalnya bergerak dan menyerang dalam jarak dekat, ia akan berterusan memberi tekanan melalui rangkaian serangan yang akan memusnahkan pertahanan lawan sehingga betul-betul menguasai keadaan.
Pengamal Lian Padukan hanya akan berhenti menyerang setelah lawannya benar-benar telah dikalahkan iaitu sehingga jatuh.
Oleh itu, Lian Padukan bukanlah satu seni yang pasif atau bertahan, tetapi lebih kepada pro-aktif, agresif dan berbahaya.
Guru Utamanya, Muhammad Hasyim Muhammad Salleh berkata, asas seni bela diri aliran Lian Padukan berlainan dengan seni bela diri yang lain.
"Lian Padukan digunakan untuk melatih pergerakan lapan anggota utama badan manusia terutama kaki dan tangan.
"Ia juga menitik beratkan pergerakan yang lebih mengikut logik dan praktikal yang mementingkan gaya dan langkah yang tersusun," katanya.
Menurutnya, seni bela diri Lian Padukan agak berlainan dengan silat mahupun seni bela diri yang lain.
"Ini kerana, Lian Padukan lebih mengutamakan pernafasan, kecergasan dan latihan bagi menguatkan lapan anggota utama badan manusia.
"Dengan bantuan latihan yang bersungguh-sungguh, pengamal Lian Padukan mampu menangkis sebarang serangan daripada musuh," jelasnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Lian Padukan sila layari laman www.lianpadukan.com atau hubungi Setiausaha Persatuan Seni Silat Lian Padukan, Md. Hishamudin Aziz (Mat Giant) di talian 016-7027449.

Utusan Malaysia Online - Rekreasi