Khamis, 20 September 2012

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SMK CHANIS 2012

Kali ini teman sekali lagi nak dikatakan diberi peluang... mungkin.... terpaksa pun mungkin. Rasanya perkataan yang paling tepat... bidan terjun! Pada awalnya persembahan untuk sambutan VVIP Hari Anugerah SMK Chanis tidak melibatkan silat. Maklumlah.. tari -menari atau nyanyian lebih mendapat sambutan berbanding gerak tepuk-tampar, pukul-memukul yang agak ganas. Lagi pun khabarnya masa & tarikh hari kejadian tidak begitu mengizinkan. Maka apabila tarikh baru dan masalah kekangan masa telah dapat diatasi, maka sambutan VVIP memerlukan persembahan silat. Dek kerana kesuntukan masa, teman pun terpaksalah turun padang. VVIP pada hari ini, 20 September 2012 ialah YB Senator Dato' Maznah Mazlan DUN Muadzam Shah merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Tahniah kepada semua yang menerima hadiah/ anugerah termasuklah para hadirin yang bernasib baik dalam cabutan bertuah. Eh!... teman pun murah rezeki juga hari ni.... tak pulang tangan kosong. Dapat beras sekampit 5kg. AlhamdulilLah. Syabas juga teman ucapkan kepada AJK sambutan kerana perjalanan sambutan yang lancar. Apa yang menarik ialah YB Dato' sempat juga berkempen semasa ucapan. Sahlah pilihanraya dah dekat!. Bahangnya jelas terasa! Walaubagaimana pun, YB tidak menghampakan sekolah kerana turut menyumbang sebanyak RM10 ribu kepada sekolah.  Berbaloi menunggu ucapan yang panjang lebar daripada dato'. Sampai teman pun terlentok meleleh air liur basi dibuatnya! Terimakasih dato'. Selamat berkempen!

Di akhir sesi bersama dato' semasa bergambar sempat juga dato' bertanya teman... cikgu ke yang bersilat semasa karnival silat di Muadzam Shah tempohari? Saya dengan penuh perasan muda lagi hensem menjawab...  saya le yang hensem  tu!


Video sambutan adalah seperti di bawah;
Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Chanis 2012



 Puas godeh punya godeh... akhirnya dapat juga keluar video ni di blog!

Rabu, 22 Ogos 2012






Di  Syawal yang Mulia ini, setelah Ramadhan al-Mubarak berlalu meninggalkan kita... saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H. Saya mewakili semua warga ahli Persatuan Seni Silat Lianpadukan Negeri Pahang menyusun sepuluh jari mohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang saya menjadi wakil persatuan selama ini ada pihak-pihak yang terguris di hati dengan kata-kata atau salah laku kami. Sekali lagi saya mohon maaf zahir dan batin. Semoga Ramadhan yang lalu memberi keinsafan kepada kita semua. Semoga silaturahim serta ukhuwah di kalangan warga silat khasnya Persatuan Seni Silat Lian Padukan semakin bertambah kukuh dan erat. InsyaAllah...

Janganlah sebarang perbezaan pendapat di antara kita dijadikan alasan untuk tidak memaafkan semasa muslim. Anggaplah sebarang perselisihan di antara kita sebagai asam garam manusia biasa yang bakal mendewasakan kita kelak. Janganlah hendaknya  ilmu bertumbuk/ ilmu perang yang ada  pada kita digunakan untuk bercakaran sesama muslim. Apatah lagi menganiaya semasa manusia. Biarlah kita mengikut resmi padi... semakin tunduk... semakin berisi! Semoga Allah SWT menghapuskan dosa-dosa kita, semoga Allah SWT membuang sikap angkuh yang mungkin terbit dalam hati kita. Sesungguhnya, hanya Dialah yang layak disembah kerana sifat Al-Mutakkabir & Al- AkbarNya.

Mudah-mudahan kita diizinkan Allah untuk dipertemukan semula dengan Ramadhan yang akan datang. InsyaAllah....




Ahad, 13 Mei 2012

KARNIVAL MARTIAL ART MUADZAM SHAH 2012

Bersama Tok 4 Bukit Ibam, Pak Zamri dan Pesilat Lian Yunan

Bergambar bersama YB Dato' Maznah Mazlan


AlhamdulilLah sekali buat julung-julung kalinya, LP cawangan gelanggang Muadzam Shah telah dijemput menyertai Karnival Martial Art 2012 anjuran Persatuan Seni Silat Sembah Pahang Muadzam Shah. Karnival ini diadakan pada 3 Mei 2012(sabtu) kebetulan sama tarikhnya dengan Hari Khatam Istiadat Lian Padukan di Gelanggang Induk Taman Johor Jaya, JB. Bak kata Ito (Blues Gang); Apo nak kato.... teman tak dapat la nak join the party! Sedang sibuk rakan-rakan seperguruan bersepak terajang di gelanggang induk termasuklah adik ipar teman, teman bersama 14 orang anak-anak buah LP di sini bersepak terajang di Padang-A DARA, Komplek Belia Muadzam Shah. Sebanyak 11 perguruan bergelanggang di kawasan Muadzam shah termasuk Bukit Ibam telah dijemput. Antara yang hadir termasuklah Persatuan TaeKwonDo, Seni Silat Panji, Seni Silat Tangkas Taming Sabil, Muay Thai, silat Cekak Malaysia, Silat Sembah Pahang dan perguruan sealiran ; Silat Lian Yunan Bukit Ibam

Teman dimaklumkan, antara objektif karnival ini diadakan adalah bagi memperkenalkan perguruan-perguruan seni beladiri yang terdapat di kawasan Muadzam Shah untuk disertai oleh anak-anak muda di sini selain memartabatkan seni beladiri khasnya seni Silat Nusantara. Tarikh tersebut ditetapkan kerana pada setiap sabtu berlangsung Pasar Minggu Terbesar di Muadzam Shah dengan bilangan pengunjung yang ramai.

Majlis bermula jam 9 pendaftaran. Jam 10 pagi baru cabutan giliran persembahan. cabut punya cabut sekali dapat giliran ke 10 (persembahan terakhir). Puaslah menunggu sampai jam 4.40 ptg baru dapat beraksi.... kalau teman tahu awal2 datang lewat sikit! Yang menariknya, persembahan LP di hadapan VVIP pada majlis tersebut iaitu YB Senator Dato' Maznah Mazlan. Selesai persembahan perguruan, Setiap guru tua perguruan diberi penghormatan dengan dijemput mengadakan persembahan ringkas di hadapan Dato'. Dapatlah juga menjamu mata dengan pelbagai rupa bunga & Lian dari guru-guru tua. Tiba giliran teman, teman pun belasah Lian Pagar Campur. 

Sesuatu yang menarik pada majlis ini ialah teman berpeluang berkenalan dengan pengamal seni buah pukul aliran awang Daik di sini yang sebelum ini teman langsung tak tahu pun sesiapa kecuali Pok Mezah Lian 12. Dengan adanya majlis ini teman dapat berkenalan dan mengeratkan silaturrahim dengan rakan buah pukul yang lain termasuk Pok Mad, Pak Isa dan Pak Zamri (Tok Empat Bukit Ibam). Selain itu orang-orang kuat gelanggang Silat Panji, Cikgu Samsudin, Cikgu Mustahna dan Cikgu Rizal serta cikgu Zakri (Seni tangkas Taming Sabil).

Harapan teman, biarlah sesuatu yang baik dan bermanfaat itu diteruskan pada masa hadapan. Bak kata pepatah melayu, 'Bersatu teguh, bercerai roboh... bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.... "(bulat manusia bukan kerana banyak makan ke?... saja melawak!)

Sahabat Lian Yunan Bukit Ibam



Jumaat, 2 Mac 2012

PELANCARAN PROGRAM GURU PENYAYANG DAN MENTOR MENTE PERINGKAT DAERAH ROMPIN

Sekali lagi sekolah dikunjungi pelawat. Kali ini Tuan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Yg Berbahagia En Yahya bin Zainal Abidin sudi hadir melancarkan Program Guru Penyayang dan Mento Mente Daerah Rompin pada hari Isnin (27 Feb 2012). Antara yang yang hadir termasuklah Pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Rompin, En. Mohamad bin Hamid dan semua pengetua serta guru besar sekolah-sekolah di Rompin.

Inilah kali pertama pegawai-pegawai tertinggi JPN Kuantan datang ke SMK Chanis seawal sebelum subuh lagi bagi program Guru Penyayang. Tahniah dan tabik spring kepada Pengarah JPN kerana sanggup datang dari jauh dan bersolat subuh di sekolah semata-mata mahu bersama-sama menyambut pelajar datang ke sekolah di pintu pagar sekolah awal pagi . Sekalung tahniah juga ke atas semua guru SMK Chanis yang menjayakan perjalanan Program yang julung kali diadakan di daerah Rompin walaupun sibuk dengan Minggu Sains & Matematik (20~24 Feb) serta Kem Kepimpinan Pengawas (24~26 Feb). Minggu yang sangat memenatkan kepada guru-guru SMK Chanis!

Pada program ini juga teman dan seorang anak murid teman (Benyamin Zulkefli) berkesempatan mempersembahkan Lian campur bagi menyambut YBhg Tuan Pengarah dalam perarakan sambutan ke dewan Al-Ghazali. Hajat di hati nak mempamer buah pukulan ... tapi agak kurang sesuai dengan tajuk program..... GURU PENYAYANG! (takkan nak belasah pelajar depan pengarah kut!)

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar!



Ahad, 15 Januari 2012

Sibuk... macam PM.

Sekali lagi penulis gagahkan hati menulis blog ini. Walaupun berat rasa nak memula bicara tapi atas amanah... ku teruskan jua!

Agak lama juga tidak mengemaskini blog ini terasa canggung hendak memulakannya semula. Kali terakhir blog ini dikemaskini kalau tak silap penulis, bulan oktober yang lalu. Sekadar makluman, sepanjang tempoh itu menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam dunia persilatan LianPadukan.

Antara yang tidak dapat penulis lupakan ialah pemergian Guru Buah Pukul tersohor iaitu Allahyarham Pak Atan Air Batu di Kluang Johor jam 5 petang, 30 November 2011 bersamaan 5 Muharram 1433 Hijrah. Allahyarham Pak Atan Air Batu juga pernah menjadi guru peribadi kepada Ayahanda Guru Utama, Hj Mohd Hashim Salleh. Mudah-mudahan roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman... Al- Fatihah.
 



Seperti biasa setiap kali musim cuti persekolahan hujung tahun guru-guru sekolah seperti kawan ni memang seronok bercuti. Tapi sebenarnya bukan semua guru-guru yang dok syok bercuti. Ada sesetengah spesis guru ini yang masih bekerja semasa cuti ... salah seorangnya; penulis. Sibuk dengan urusan peperiksaan SPM dan pengurusan sekolah. Namun sempat jua meluangkan masa bagi kursus Lian tasbih & Kipas nandung yang diadakan baru-baru ini. Bengkel yang membuka mata penulis berkenaan permainan senjata boleh-lentur Lian Padukan. Satu bengkel yang sangat unik kerana penulis tidak pernah terfikir tasbih dijadikan senjata. Permainannya hampir sama dengan seni cindai tapi tidak serupa. Syabas kepada Cikgu Hisyam Giant kerana telah mengelolakan bengkel ini dengan jayanya.

Video bengkel lian tasbih ;  www.youtube.com/watch?v=eu3gT4zTLqk



Musim cuti sekolah yang lalu juga penulis bersama keluarga sempat berkunjung ke negara asal Permainan Buah Pukul. AlhamdulilLah, segalanya berjalan lancar semasa kunjungan ke negara tersebut. Mungkin suatu hari nanti penulis diizinkan Allah untuk menjejakkan kaki ke bumi Yunan. InsyaAllah.