Ahad, 13 Mei 2012

KARNIVAL MARTIAL ART MUADZAM SHAH 2012

Bersama Tok 4 Bukit Ibam, Pak Zamri dan Pesilat Lian Yunan

Bergambar bersama YB Dato' Maznah Mazlan


AlhamdulilLah sekali buat julung-julung kalinya, LP cawangan gelanggang Muadzam Shah telah dijemput menyertai Karnival Martial Art 2012 anjuran Persatuan Seni Silat Sembah Pahang Muadzam Shah. Karnival ini diadakan pada 3 Mei 2012(sabtu) kebetulan sama tarikhnya dengan Hari Khatam Istiadat Lian Padukan di Gelanggang Induk Taman Johor Jaya, JB. Bak kata Ito (Blues Gang); Apo nak kato.... teman tak dapat la nak join the party! Sedang sibuk rakan-rakan seperguruan bersepak terajang di gelanggang induk termasuklah adik ipar teman, teman bersama 14 orang anak-anak buah LP di sini bersepak terajang di Padang-A DARA, Komplek Belia Muadzam Shah. Sebanyak 11 perguruan bergelanggang di kawasan Muadzam shah termasuk Bukit Ibam telah dijemput. Antara yang hadir termasuklah Persatuan TaeKwonDo, Seni Silat Panji, Seni Silat Tangkas Taming Sabil, Muay Thai, silat Cekak Malaysia, Silat Sembah Pahang dan perguruan sealiran ; Silat Lian Yunan Bukit Ibam

Teman dimaklumkan, antara objektif karnival ini diadakan adalah bagi memperkenalkan perguruan-perguruan seni beladiri yang terdapat di kawasan Muadzam Shah untuk disertai oleh anak-anak muda di sini selain memartabatkan seni beladiri khasnya seni Silat Nusantara. Tarikh tersebut ditetapkan kerana pada setiap sabtu berlangsung Pasar Minggu Terbesar di Muadzam Shah dengan bilangan pengunjung yang ramai.

Majlis bermula jam 9 pendaftaran. Jam 10 pagi baru cabutan giliran persembahan. cabut punya cabut sekali dapat giliran ke 10 (persembahan terakhir). Puaslah menunggu sampai jam 4.40 ptg baru dapat beraksi.... kalau teman tahu awal2 datang lewat sikit! Yang menariknya, persembahan LP di hadapan VVIP pada majlis tersebut iaitu YB Senator Dato' Maznah Mazlan. Selesai persembahan perguruan, Setiap guru tua perguruan diberi penghormatan dengan dijemput mengadakan persembahan ringkas di hadapan Dato'. Dapatlah juga menjamu mata dengan pelbagai rupa bunga & Lian dari guru-guru tua. Tiba giliran teman, teman pun belasah Lian Pagar Campur. 

Sesuatu yang menarik pada majlis ini ialah teman berpeluang berkenalan dengan pengamal seni buah pukul aliran awang Daik di sini yang sebelum ini teman langsung tak tahu pun sesiapa kecuali Pok Mezah Lian 12. Dengan adanya majlis ini teman dapat berkenalan dan mengeratkan silaturrahim dengan rakan buah pukul yang lain termasuk Pok Mad, Pak Isa dan Pak Zamri (Tok Empat Bukit Ibam). Selain itu orang-orang kuat gelanggang Silat Panji, Cikgu Samsudin, Cikgu Mustahna dan Cikgu Rizal serta cikgu Zakri (Seni tangkas Taming Sabil).

Harapan teman, biarlah sesuatu yang baik dan bermanfaat itu diteruskan pada masa hadapan. Bak kata pepatah melayu, 'Bersatu teguh, bercerai roboh... bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.... "(bulat manusia bukan kerana banyak makan ke?... saja melawak!)

Sahabat Lian Yunan Bukit Ibam